Pelakon popular dari Indonesia, Randy
Pangalila mengakui hatinya kini telah dimiliki dan sudah mempunyai
kekasih sejak dua tahun yang lalu. Penjelasan jejaka berusia 22 tahun
ini sekaligus menepis gosip cinta antara beliau dengan pasangan
heroinnya dalam telefilem, ‘Mimpi Sampai Ke Bintang’, Elfira Loy yang
cukup hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini.
“Saya sudah ada kekasih di Indonesia.
Kami sudah berpacaran sejak dua tahun lepas dan teman wanita saya juga
merupakan orang yang turut terlibat dalam industri hiburan. Cukup saya
katakan, dia adalah salah seorang pelakon sinetron, ‘Nada Cinta’,” jelas
Randy ketika ditemui pada majlis sidang media drama ‘Dalam Hati Ada
Taman’, di Flora CafĂ©, Amp Walk, petang semalam.
Ditanya siapakah kekasih hatinya itu,
Randy yang pada mulanya agak keberatan untuk memberitahu akhirnya
berkongsi, “Namanya Michella Putri dan berumur 19 tahun. Sudah sebulan
kami tidak berjumpa kerana masing-masing sibuk dengan jadual lakonan.
Tidak dinafikan saya rindu sama dia namun kami sama-sama mengerti dengan
kesibukan ini dan hanya berhubung melalui Skype.”
Diusik sama ada beliau mempunyai
perancangan untuk ke fasa seterusnya dengan kekasihnya itu, Randy sambil
tersenyum memberitahu, “Kami memang serius dalam hubungan ini namun
untuk ke tahap seterusnya, kami serahkan segalanya pada Tuhan. Saya
sendiri sasar dalam tiga tahun lagi untuk berkahwin.”
|
Ada iras Elfira Loy tak??...;) |
Alang-alang bertemu dengan aktor
kelahiran Surabaya ini, sempat bertanyakan kepada beliau mengenai isu
kedatangannya ke Malaysia yang tidak disenangi oleh segelintir pihak di
mana Presiden Seniman, Zed Zaidi pernah mempertikaikan mengenai
penglibatan beliau dalam industri seni negara ini sama ada menggunakan
permit kerja yang sah atau tidak.
Menjawab mengenai isu ini, Randy
memberitahu, “Bagi saya ini cuma masalah komunikasi dan kalau boleh saya
tak mahu memperbesarkan hal ini. Apa yang boleh saya katakan, sebelum
datang ke Malaysia, benda yang saya cukup titikberatkan sudah tentulah
permit kerana saya sendiri tidak mahu bekerja secara tidak sah di sini.
Pihak produksi sendiri telah memastikan penyediaan permit diuruskan
dengan betul sebelum saya berlakon di sini.”
Berkongsi mengenai kerjaya lakonannya di
sini, Randy yang sudah empat kali mengunjungi Malaysia memberitahu,
“Sebagai pelakon, saya dapat kepuasan apabila berlakon dengan produksi
Malaysia kerana waktu penggambarannya tidak lama dan saya suka seperti
ini. Tidak seperti di Indonesia di mana saya sendiri pernah berlakon
selama empat tahun untuk sinetron 1000 episod, ‘Cinta Fitri’.
“Tapi, jika fikir soal bayaran, sudah
tentu di Indonesia namun jika mencari kepuasan, saya lebih puas berlakon
di Malaysia,” ujar Randy yang kini sedang sibuk dengan penggambaran
sinetron, ‘Raja dan Aku’ di Indonesia.
Dalam perkembangan lain, Randy bakal
muncul dalam drama terbaru Michael Ang, ‘Dalam Hati Ada Taman’ yang
bakal disiarkan setiap hari Isnin, jam 9.30 malam mulai 29 Oktober 2012
di Astro Ria. Randy juga masih mempunyai dua lagi kontrak filem dengan
produksi Michael di mana salah satunya ialah ‘KL Meroyan’ yang akan
menggandingkannya dengan aktres, Erra Fazira.